TAWASUL

Posted: April 5, 2011 in Kisah Semasa

BERSAMA MENUJU MAHABBAH

TAWASSUL SAIDINA UMAR DENGAN AL ABBAS

Kisah masyhur ini penting untuk kita renungi secara khusus kerana ada di sana mereka yang mendakwa bahawa ia hanya dalil membolehkan tawassul dengan seorang yang masih hidup. Manakala bertawassul dengan seorang yang telah mati dikatakan salah dan membawa kepada syirik.
Diriwayatkan oleh al-Bukhari di dalam Sohihnya, daripada Anas RA berkata: “Bahawa Umar ibn al Khattab RA apabila mereka ditimpa kemarau, beliau meminta diturunkan hujan dengan kemuliaan Abbas ibn Abdul Muttalib RA, dengan doanya: “Ya Allah! Sesungguhnya kami dahulu sering bertawassul dengan kemuliaan NabiMu, maka Engkau menurunkan hujan kepada kami. Sekarang, kami bertawassul pula dengan bapa saudara nabi kami, maka turunkanlah hujan kepada kami.”
Al-Zubair ibn Bikar telah meriwayatkan kisah ini di dalam al-Ansab dari beberapa jalan dan jalan perawi yang lain; yang meriwayatkan kisah ini dengan lebih ringkas. Daripada telah memintaAbdullah ibn Umar RA berkata:Umar ibn al Khattab diturunkan hujan pada tahun al-Ramadah dengan kemuliaan ‘Abbas ibn Abdul Muttalib RA. Dinamakan Ramadah kerana banyaknya debu-debu yang beterbangan akibat terlalu lama tidak turun hujan. Lalu Umar RA berucap kepada orang ramai :
“Wahai sekalian manusia! Sesungguhnya Rasulullah SAW memandang (menghormati) Abbas RA sebagaimana seorang anak memandang (menghormati) bapanya. Maka ikutlah wahai sekalian manusia cara dan jadikanlah diaRasulullah S menghormati bapa saudaranya, ‘Abbas sebagai wasilah kepada Allah. Berdoalah, wahai ‘Abbas!”
Di antara doa ‘Abbas RA ialah: “Ya Allah! Sesungguhnya bala tidak akan turun melainkan kerana dosa dan ia tidak akan lenyap melainkan dengan taubat. Sesungguhnya umat ini telah bertawajjuh denganku kepadaMu kerana kedudukanku di sisi NabiMu SAW, dan ini adalah tangan-tangan kami yang melakukan dosa-dosa meminta kepadamu, sedang ubun-ubun kami tunduk kepadaMu dengan taubat. Maka siramilah kami dengan hujan dan peliharalah, ya Allah! Nabi kami SAW pada bapa saudaranya.”
Maka langit menjadi mendung seperti bukit dan menurunkan hujan hingga tanah menjadi subur dan manusia dapat meneruskan kehidupan mereka. Maka ramailah orang menemui ‘Abbas RA menyapu jasadnya yang mulia (sebagai tanda terima kasih). Mereka berkata kepadanya, “Berbahagialah kamu, wahai penyiram al Haramain.” Umar RA berkata berikutan hal tersebut, “Demi Allah! Dia (‘Abbas RA) adalah wasilah kami kepada Allah dan orang yang mempunyai kedudukan di sisi Nabi SAW.
******
Sebenarnya, Umar RA berhak mengimamkan orang ramai untuk memohon diturunkan hujan kepada mereka. Namun, Umar RA mendahulukan ‘Abbas RA untuk meminta hujan kerana membesarkan dan memuliakan Rasulullah SAW dan memuliakan keluarganya. Beliau mendahulukan bapa saudara Nabi SAW daripada dirinya sendiri untuk mencapai sebaik-baik tawassul dengan Rasulullah SAW mengikut apa yang termampu. Beliau juga menggalakkan orang ramai menjadikan ‘Abbas RA sebagai wasilah mereka kepada Allah. Maka beliau meminta diturunkan hujan bagi mereka di tempat solat Nabi SAW untuk mencapai cara yang terbaik dalam mengagungkan Rasulullah SAW dan menguatkan kelebihan ahli baitnya.
Sikap Umar RA ini jelas dalam doanya yang bermaksud, dahulu kami bertawassul kepadaMu dengan cara Rasulullah SAW keluar bersama orang ramai ke tempat solat, doa Baginda SAW untuk mereka dan solat yang Baginda SAW lakukan bersama mereka. Tetapi sekarang, oleh kerana cara itu tidak dapat dilakukan lagi disebabkan Baginda SAW telah wafat, maka saya mendahulukan insan yang terdiri dari kalangan ahli baitnya (mengimamkan solat kami) agar doa kami lebih diharapkan mendapat penerimaan dan mustajab daripada Allah.
‘Abbas RA juga ketika berdoa, dia bertawassul dengan Rasulullah SAW sebagaimana doanya: “Umat ini telah mendekatiMu dengan bertawassul denganku kerana kedudukanku di sisi NabiMu SAW (sebagai bapa saudaranya). Maka peliharalah, ya Allah! NabiMu pada bapa saudaranya.” Maksudnya, terimalah doaku kerana NabiMu SAW.
Persoalan ini termasuk dalam permasalahan istisqa’ (memohon diturunkan hujan). Ia tiada kaitan dengan tawassul yang baru sahaja kita bicarakan sebentar tadi dan diperselisihkan. Ini adalah perkara yang diketahui oleh mereka yang mempunyai dua mata, kerana kisah ini menunjukkan dengan jelas bahawa mereka telah ditimpa kemarau dan berhajat untuk meminta pertolongan dengan melakukan solat istisqa’ (minta hujan). Untuk mendirikannya, sudah tentu memerlukan kepada seorang imam yang akan solat dengan mereka, berdoa untuk mereka dan mendirikan syiar Islam ini yang pernah ditegakkan oleh Nabi SAW ketika berada di alam pentaklifan (dunia) seperti syiar-syiar agama yang lain; menjadi imam, solat Jumaat dan berkhutbah. Kesemuanya ini adalah tugasan dalam pentaklifan yang tentu sahaja tidak boleh didirikan oleh penghuni alam barzakh kerana telah terputusnya pentaklifan daripada mereka dan kesibukan mereka dengan sesuatu yang lebih besar daripada itu.
Orang yang memahami bahawa Umar RA hanya bertawassul dengan ‘Abbas RA dan tidak bertawassul dengan Rasulullah SAW kerana ‘Abbas RA masih hidup dan Nabi SAW telah wafat, adalah orang yang telah mati kefahamannya, dikuasai oleh keraguannya dan hanya mengajak dirinya menilai dengan kejahilannya yang nyata. Atau pun, dia telah dikuasai oleh sifat ekstrim dengan pendapat sendiri yang ada dalam dirinya. Sesungguhnya Umar RA bertawassul dengan ‘Abbas RA hanya kerana hubungan kerabat yang dimiliki oleh ‘Abbas RA dengan Rasulullah SAW, sebagaimana yang ditunjuki di dalam doanya, “Sesungguhnya kami bertawassul kepadaMu dengan kemuliaan bapa saudara nabi kami, maka turunkanlah hujan kepada kami.” Dengan doanya itu, dia telah bertawassul dengan Rasulullah SAW melalui cara yang paling baik.
Sesungguhnya telah melencong terlalu jauh, orang yang melemparkan tuduhan syirik ke atas orang-orang Islam disebabkan perbuatan tersebut, sedangkan dia mengharuskan tawassul dengan orang hidup. Sekiranya bertawassul itu adalah syirik, sudah tentu ia tidak harus; tidak kira dengan kemuliaan orang yang masih hidup atau pun telah meninggal dunia. Bukankah adanya kepercayaan sifat rububiyyah (ketuhanan) dan melayakkan peribadatan kepada selain Allah; sama ada kepada nabi, malaikat atau wali adalah perbuatan syirik dan kufur; tidak boleh dilakukan tanpa mengira sama ada ketika hidupnya di dunia atau di akhirat? Adakah kita pernah mendengar seseorang berkata: Sesungguhnya mengi’tiqadkan sifat rububiyyah kepada selain Allah, adalah harus jika ia masih hidup, tetapi syirik jika ia telah mati?!
Maka ketahuilah bahawa menjadikan insan yang dimuliakan sebagai wasilah kepada Allah bukan bermakna menyembah wasilah tersebut kecuali apabila dia mengi’tiqadkan bahawa wasilah itu adalah Tuhan sebagaimana keyakinan penyembah-penyembah berhala terhadap berhala-berhala sembahan mereka. Apabila orang yang bertawassul tidak ada keyakinan sedemikian, maka dia melakukannya kerana diperintahkan oleh Allah supaya mengambil wasilah. Dari yang demikian, maka mengambil wasilah adalah suatu bentuk ibadah kepada Yang Memerintahkan perkara tersebut, iaitu Allah SWT.

TAWASSUL DALAM BENTUK SERUAN

Utusan Malaysia, 15 Mac 2011

Ke arah kesimpulan bicara kita di dalam memurnikan kefahaman tentang Tawassul ini, kita akan meninjau pula beberapa catatan sejarah bertawassul secara menyeru Nabi SAW atau orang-orang yang mulia di sisi Allah SWT. Sebahagiannya merupakan perbuatan para Sahabat RA. Sebagai anak buah didikan Rasulullah SAW, sudah tentu mereka ini boleh dijadikan ikutan kita dalam memahami persoalan agama seumpama ini.

Semboyan Perang “Wahai Muhammad!
Suatu contoh yang menarik ialah Tawassulnya tentera Muslimin dengan menyeru nama Nabi SAW dalam peperangan Yamamah, iaitu peperangan dengan tentera Nabi palsu, Musailamah al-Kazzab. Ibnu Kathir menyebut bahawa syiar atau slogan orang-orang Islam dalam peperangan Yamamah ialah: “Ya Muhammadaah!” (Wahai Nabi Muhammad! Tolonglah!).
Beliau berkata sebagaimana nasnya: Khalid ibn al-Walid RA membawa bendera hingga berjaya melintasi kawasan musuh. Setelah itu, beliau melalui bukit, dan memerhatikan bagaimana caranya beliau dapat sampai dekat dengan Musailamah al-Kazzab dan membunuhnya. Kemudian beliau kembali semula kepada barisan tentera. Lalu beliau berhenti di antara dua saf tentera dan berseru untuk berlawan seorang dengan seorang dari kalangan tentera musuh, “Aku adalah putera al Walid yang datang semula, aku adalah putera ‘Aamir dan Zaid.” Kemudian dia melaungkan syiar kaum Muslimin iaitu, “Ya Muhammadaah!” (Al-Bidayah wa al-Nihayah: 6/324).

Jelas dari peristiwa ini bahawa para Sahabat tidak merasa kekok untuk menggunakan seruan ini walaupun ia seolah-olah merupakan suatu permohonan langsung kepada Nabi SAW untuk membantu mereka dalam peperangan tersebut. Pada hakikatnya mereka tidaklah mengharap selain bantuan Allah SWT dengan keberkatan atau perantaraan Rasulullah SAW. Seruan itu juga sebagai himbauan inspirasi dan semangat jihad yang pernah mereka lalui bersama Rasulullah SAW.
Menyeru Nama Nabi SAW Untuk Berubat
Daripada al-Haitham ibn al-Khannas berkata: Pada suatu hari, ketika kami bersama Abdullah ibn Umar RA, kakinya terasa kejang. Lalu seorang lelaki berkata kepadanya, “Sebutlah nama manusia yang paling kamu kasihi.” Maka dia menyebut, “Wahai Muhammad!” Maka kekejangan kakinya pun sembuh.
Dalam satu riwayat daripada Mujahid: Pada suatu hari kaki seorang lelaki menjadi kebas ketika sedang bersama Ibnu Abbas RA. Maka Ibnu Abbas RA berkata kepadanya, “Sebutlah nama orang yang paling kamu kasihi.” Maka dia berkata, “Muhammad.” Rasa kebas kakinya tiba-tiba hilang. (Kisah ini ada di sebut oleh Ibnu Taymiyyah dalam al-Kalim al-Toyyib, bahagian 47, H: 165) Maka ini juga adalah tawassul dalam bentuk seruan.
Seruan Kepada Selain Nabi SAW
Daripada Utbah ibn Ghazwan daripada Nabi Allah SAW bersabda: “Apabila seseorang kamu kehilangan sesuatu, atau inginkan pertolongan, sedangkan ketika itu dia berada di tanah (kawasan) yang tiada berpenghuni, maka hendaklah dia mengucapkan, “Wahai hamba Allah! Bantulah aku.” Sesungguhnya Allah mempunyai hamba-hamba yang tidak dapat kita lihat.”
Amalan tawassul ini didapati mujarab.(Riwayat al-Tabrani, sebahagian rijalnya dhaif). Daripada Ibnu Abbas RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya Allah mempunyai beberapa malaikat di bumi selain malaikat Hafazah yang ditugaskan mencatat daun pokok yang gugur. Maka apabila seseorang kamu berdepan dengan kesulitan di kawasan bukit tinggi di padang sahara, hendaklah berseru, “Wahai hamba-hamba Allah! Bantulah aku” (Riwayat al-Tabrani, rijalnya thiqah).

Daripada Abdullah ibn Mas’ud RA berkata: Sabda Rasulullah SAW : ِ”Apabila binatang peliharaan kamu terlepas di tanah lapang, maka hendaklah kamu berseru, “Wahai hamba-hamba Allah! Tahanlah ia. Wahai hamba-hamba Allah! Tahanlah ia”, kerana Allah mempunyai makhluk yang hadir di muka bumi yang akan menahannya.”(Abu Ya`la dan al-Tabrani) Walaupun ada kelemahan dalam sanad sebahagian hadis-hadis ini, tetapi ia saling sokong menyokong.
Nabi SAW Berdoa dengan Seruan Nabi SAW juga pernah bertawassul dalam bentuk seruan.
Dinyatakan di dalam hadith, bahawa Rasulullah SAW berdoa selepas solat Fajar dua raka’at: “Ya Allah! Wahai Tuhan Jibril, Israfil, Mikail dan Nabi Muhammad! Aku berlindung denganMu daripada api neraka.” Al-Nawawi berkata di dalam al-Azkar: Hadith ini telah diriwayatkan oleh Ibnu al Sunni, telah berkata al Hafiz setelah mentakhrijnya: Ia adalah hadith hasan. (Ibnu Allan, Syarah al-Azkar, Jilid 2 H: 139)
Pengkhususan sebutan mereka dalam erti kata bertawassul dengan mereka, seolah-olah Baginda SAW bersabda, “Ya Allah! Sesungguhnya aku memohon kepadaMu dan bertawassul kepadaMu dengan kemuliaan Jibril, Israfil….hingga akhirnya. Ibnu ‘Allan telah mengisyaratkan kepada makna ini di dalam syarahnya, dengan katanya: Bertawassul kepada Allah dengan kemuliaan qudrat ruh-ruh yang hebat ini; yang dikaitkan dengan kehidupan; mempunyai kesan yang besar kepada terhasilnya hajat-hajat dan tercapainya keinginan-keinginan yang penting.

Begitu juga penjelasan Ibnu ‘Allan di dalam Syarh al Azkar, tentang pensyariatan tawassul, beliau berkata sebagai memberikan komentar terhadap hadith, “Ya Allah! Sesungguhnya aku memohon kepadaMu dengan kemuliaan orang-orang yang memohon.” Di dalam hadith ini terdapat keharusan bertawassul dengan kemuliaan orang-orang yang mulia secara umum dari kalangan orang-orang yang meminta (kepada Allah), dan juga orang-orang yang seperti mereka, lebih-lebih lagi lah para Nabi dan juga Rasul.
Maka bolehlah disimpulkan bahawa bertawassul dalam bentuk menyeru nama Nabi SAW atau orang-orang yang disepakati kemuliaan mereka disisi Allah SWT adalah dibolehkan dalam Islam. Tinggal lagi perbuatan ini haruslah disertai dengan keyakinan yang murni bahawa pada tahap yang sebenar, kuasa membantu dan menolong seseorang hanyalah milik Allah SWT. Wa allahu Aqlam.

BERTAWASSUL DENGAN MAQAM NABI SAW
Arkib Utusan 8/3/2011
PADA minggu ini kita melihat pula perbuatan para sahabat yang bertawassul dengan makam Nabi SAW. Perbuatan mereka ini boleh dijadikan sandaran bahawa ia bukanlah suatu kesalahan dan menjernihkan lagi kefahaman kita tentang tawassul ini.
Berkata al-Imam al-Hafiz al-Darimi di dalam kitabnya al-Sunan, bab kemuliaan yang dikurniakan oleh Allah kepada Nabi Muhammad SAW selepas kewafatannya: Pada suatu masa, penduduk Madinah ditimpa kemarau yang dahsyat. Maka mereka mengadu kepada Sayyidah Aisyah RA, lalu Sayyidah Aisyah RA berkata, “Perhatikanlah makam Rasulullah SAW. Maka buatlah sebuah tingkap menghadap ke arah langit hingga tiada satu atap yang menghalang di antara maqamnya dengan langit.”

Aus ibnu Abdullah berkata: “Maka mereka pun membuat tingkap tersebut. Lalu selepas itu, kami diturunkan hujan hingga rumput-rumput tumbuh dengan subur dan unta-unta menjadi gemuk, (seolah-olah) badannya pecah kerana banyaknya lemak. Maka tahun itu dinamakan Tahun al-Fatq (binatang gemuk dan berlemak) (Sunan al-Darimi Jld 1, H: 43).”
Inilah yang dinamakan bertawassul dengan makam baginda SAW. Bukan kerana ia adalah kubur semata-mata tetapi kerana di dalamnya disemadikan jasad makhluk yang paling mulia dan kekasih Tuhan semesta alam. Maka ia mendapat kemuliaan kerana berhampiran dengan Baginda SAW dan layaklah ia mendapat kedudukan yang mulia.
Jika dikaji sanad hadis ini maka kita dapati ia tidak mengapa (untuk digunakan). Bahkan di sisi saya, sanadnya adalah amat baik. Ia telah diterima baik oleh ulama dan mereka telah menjadikan sanad seperti ini sebagai pendukung kepada hadis yang lain, bahkan dengan sanad yang mempunyai kriteria yang lebih rendah daripada itu.
Sebahagian ulama berkata bahawa athar ini mauquf (terhenti atau disandarkan) kepada Aisyah, dan beliau adalah seorang sahabat, sedangkan perbuatan sahabat tidak boleh dijadikan sebagai hujah.

Jawapannya ialah, sekalipun bertawassul dengan makam Rasulullah SAW hanyalah lahir daripada idea Aisyah, namun beliau adalah seorang yang terkenal dengan keluasan dan kesaratan ilmunya dan beliau melakukan perbuatan tersebut di Madinah, di tengah-tengah ulama yang terdiri daripada sahabat yang hebat.
Kisah ini sudah cukup bagi kami menjadikan dalil bahawa Sayyidah Aisyah, Ummul Mukminin mengetahui bahawa Rasulullah SAW tetap mengasihi dan memberikan pertolongan kepada umatnya selepas kewafatannya. Orang yang menziarahinya dan memohon syafaat dengannya pasti akan diberikan syafaat sebagaimana yang dilakukan oleh Ummul Mukminin.
Perbuatannya ini tidak termasuk di dalam kategori amalan syirik atau salah satu jalan menuju kesyirikan sebagaimana anggapan salah golongan yang mempermudahkan urusan mengkafirkan dan menyesatkan orang lain. Sesungguhnya Aisyah dan orang yang menyaksikannya bukanlah orang yang buta dan jahil tentang kesyirikan.
Kisah ini membatalkan hujah mereka yang suka mengkafirkan dan menyesatkan golongan yang mengharuskan bertawassul dengan Nabi SAW selepas kewafatannya. Kisah ini telah menegaskan bahawa Nabi SAW tetap mengambil berat dan prihatin tentang keadaan umatnya di dalam maqamnya sekalipun telah wafat. Telah diriwayatkan bahawa Sayyidah ‘Aisyah RA pernah berkata:
“Pada suatu ketika, aku masuk ke dalam rumahku yang terdapat makam Rasulullah SAW dan ayahandaku di dalamnya dan aku tidak menutup auratku di situ, dan aku berkata tidak mengapa kerana yang ada hanyalah suami dan ayahandaku.
“Setelah Umar ibn al Khattab dikebumikan di samping makam Rasulullah SAW dan ayahandaku, maka demi Allah aku tidak pernah masuk ke dalamnya melainkan dalam keadaan menutup aurat kerana malu dengan Umar RA.” (riwayat Ahmad, al-Hakim dalam al-Mustadrak, al-Haithami mengatakan dalam Majma’ al-Zawaid bahawa rijalnya sahih).
Aisyah tidak melakukan suatu perkara yang batil. Tetapi dia mengetahui bahawa Nabi SAW dan kedua orang temannya mengetahui siapakah insan yang berada di sisi kubur mereka.
Comments (0)
Umum, Arkib Utusan, TawassulMarch 1, 2011 12:24 pm
BERTAWASSUL DENGAN HAK PARA NABI DAN ORANG SOLEH
Pada minggu ini, kita menyambung semula perbahasan kita tentang isu Tawassul, suatu persoalan yang boleh menjadi punca kekeliruan dalam masyarakat. Penentangan sesetengah pihak terhadap Tawassul ini boleh menjerumuskan mereka kepada sikap merendah-rendah kemuliaan dan kelebihan yang ada pada diri Rasulullah SAW dan para ulama pewaris Baginda SAW. Ini bukannya suatu kegelinciran yang kecil. Oleh itu wajarlah kita menghabiskan sedutan kita tentang perbahasan isu ini dari kitab Mafahim karya al-Allamah al-Muhaddith Dr. Sayyid Muhammad bin Sayyid `Alawi al-Maliki.
Disebut di dalam manaqib (biografi) Fatimah binti Asad, bonda Sayyidina Ali ibn Abu Tolib RA, bahawa setelah beliau wafat, Rasulullah SAW sendiri menggali lubang lahadnya dan mengeluarkan tanahnya dengan tangannya. Apabila telah selesai, Rasulullah SAW masuk ke dalam lubang tersebut dan berbaring di dalamnya. Kemudian Rasulullah SAW berdoa:
“Allah Tuhan yang menghidupkan dan mematikan. Dia adalah Maha Hidup dan tidak akan mati. Ampunilah bondaku (bonda saudaraku), Fatimah binti Asad. Ajarilah dia hujjah (jawapan pertanyaan malaikat Munkar dan Nakir), luaskanlah untuknya tempat masuknya (kuburnya), dengan kemuliaan nabiMu dan para Nabi sebelumku. Sesungguhnya Engkau Maha Pengasih dari segala yang mengasihani.” Lalu Nabi SAW bertakbir sebanyak empat kali dan memasukkan jenazah Fatimah ke dalam lahad bersama al ‘Abbas RA dan Abu Bakar al Siddiq RA.(Hadith riwayat al-Tabrani di dalam al-Kabir dan al-Ausot. Demikianlah seperti yang disebut di dalam Majma’ al Zawaid Jld 9, H: 257).

Sebahagian ahli hadith berselisih pandangan tentang Rauh ibn Solah, salah seorang perawi hadith ini. Namun Ibnu Hibban menyebut namanya di dalam rijal-rijal yang thiqah. Manakala al-Hakim berkata, beliau adalah seorang yang thiqah yang dipercayai. Justeru, kedua-dua al-Hafiz ini mensohihkan hadith di atas. Demikian juga al-Haithami di dalam Majma’ al Zawaid, beliau berkata: Di dalam perawi hadith ini ada seorang yang bernama Rauh ibn Solah, beliau telah dihukumkan thiqah oleh Ibnu Hibban dan Hakim. Dia mempunyai kelemahan, manakala perawi-perawi yang lain adalah sohih.
Hadith ini juga diriwayatkan oleh Ibnu Abdil Bar daripada Ibni Abbas RA, dan Ibni Abi Syaibah daripada Jabir RA. Ia diriwayatkan juga oleh al-Haithami dan Abu Nu’aim. Maka jalan-jalannya saling menguatkan dan mendukung di antara satu sama lain dengan kuat dan tahqiq sekali.
Syeikh al-Hafiz Abdullah ibn al-Siddiq al-Ghumari berkata: Rauh ibn Solah ini hanya mempunyai sedikit kelemahan di sisi mereka yang melemahkannya sebagaimana yang dilihat dalam ungkapan mereka. Oleh yang demikian, al Hafiz al-Haithami pun mengira Rauh ibn Solah mempunyai kelemahan yang ringan, sebagaimana yang biasa didapati pada perawi-perawi yang lain oleh mereka yang berkemahiran tinggi tentang kitab-kitab Fan (Ilmu Hadith).
Kesimpulannya, hadith ini tidak kurang daripada menempati darjat hasan. Bahkan, mengikut syarat Ibnu Hibban, ia adalah sohih. (Ittihaf al Azkiya’ H: 20.)

Dari sini juga, kita mendapat satu kesimpulan, bahawa para nabi yang ditawassulkan oleh Nabi Muhammad SAW dengan hak mereka kepada Allah sebagaimana yang dinyatakan di dalam hadith ini dan hadith lain, telah pun wafat. Justeru, hadis ini juga menthabitkan hukum keharusan bertawassul kepada Allah dengan kemuliaan dan ahli yang mempunyai kemuliaan; tidak kira sama ada mereka itu masih hidup atau pun telah wafat.
Nabi Bertawassul Dengan Hak Orang-orang Yang Memohon
Diriwayatkan oleh Abu Sa’id al Khudri RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang keluar dari rumahnya untuk pergi solat, lalu dia membaca: “Ya Allah! Sesungguhnya aku memohon kepadaMu dengan hak orang-orang yang memohon kepadaMu dan dengan hak perjalananku ini, kerana sesungguhnya aku tidak keluar untuk melakukan kezaliman, atau kerana sombong, atau dalam keadaan riya’, atau sum’ah, tetapi aku keluar kerana takutkan kemurkaanMu dan mencari keredhaanMu. Maka aku memohon kepadaMu agar Engkau melindungiku daripada api neraka dan mengampuni dosa-dosaku, kerana sesungguhnya tiada yang mengampuni dosa-dosa melainkan Engkau.” Maka Allah menerimanya dengan hak kemuliaannya, dan 70,000 malaikat mengucapkan keampunan untuknya.”

Berkata al-Munziri: Hadith ini diriwayatkan oleh Ibnu Majah dengan sanad yang dibincangkan (darjatnya), dan ia dinaikkan kepada darjat hasan oleh syeikh kami, al-Hafiz Abu al-Hasan. (al-Targhib wa al-Tarhib, Jld 2, H: 458). Berkata al-Hafiz Ibnu Hajar: Hadith ini adalah hasan. Diriwayatkan oleh Ahmad dan Ibnu Khuzaimah di dalam kitab al-Tauhid, Abu Nu’aim dan Ibnu al Sunni.( Ibnu Hajar, Nataij al Afkar, Jld 1, H: 272) Berkata al-Iraqi tentang hadith ini: Bahawa ia adalah hasan. (Al ‘Iraqi, al-Mughni dan Takhrij Ahadith al Ihya’ Jld 1, H: 323) Berkata al Hafiz al Busairi: Hadith ini diriwayatkan oleh Ibnu Khuzaimah di dalam Sohihnya. (Al-Hafiz al Busairi, Misbah al-Zujajah Jld 1, H: 98) Berkata Syarafuddin al Dimyati: Sanadnya adalah hasan, insya Allah. (Al-Dimyati, al Muttajir al Rabih, H: 471) Al-Allamah al Muhaqqiq al Muhaddith Sayyid Ali ibn Yahya al-‘Alawi menyebut di dalam risalahnya yang ringkas, Hidayah al-Mutakhabbitin: Bahawa al-Hafiz Abdul Ghani al-Maqdisi telah memberikan kedudukan hasan kepada hadith ini dan penilaian itu diterima oleh Ibnu Abi Hatim.
Dengan ini, jelaslah kepada kita bahawa hadith ini telah dihukum sohih dan hasan oleh sejumlah ahli Hafiz dan imam besar hadith. Mereka ialah Ibnu Khuzaimah, al-Munziri, Syeikhnya Abu al Hasan, al-‘Iraqi, al Busairi (bukan al Busairi pengarang Burdah), Ibnu Hajar, Syaraf al-Din al-Dimyati, Abdul Ghani al-Maqdisi dan Ibnu Abi Hatim.
Apakah selepas hadith ini dibincangkan oleh mereka yang berkelayakan, masih ada lagi kata-kata dan persoalan mengenainya? Adakah sah orang yang berakal meninggalkan hukum yang telah ditetapkan oleh mereka yang begitu pakar dan ternama dari kalangan rijal-rijal hadith yang diyakini, lalu mengikut pendapat orang yang masih lemah dan mentah dalam medan ilmu hadith?
Dimanakah kita dengan peringatan-peringatan al-Quran yang berikut? “Mahukah kamu mengambil sesuatu yang rendah sebagai pengganti yang lebih baik?”(Al- Baqarah: 61) “Sesungguhnya bukanlah mata itu yang buta, tetapi yang buta ialah hati yang di dalam dada.” (Al Hajj: 46). Semoga kita sentiasa digolongkan di kalangan mereka yang bersedia mendengar pandangan dan kemudiannya mengikut pandangan yang terbaik.
Comments (0)
Umum, MawlidFebruary 22, 2011 3:25 am
TERLAMPAU MEMUJI RASULULLAH S.A.W ??
SEMPENA menyambut Mawlid al-Rasul SAW, kita tangguhkan sejenak siri perbahasan kita tentang tawassul dan memilih untuk memetik satu tajuk lain iaitu batas pujian terhadap Rasulullah SAW. Ini adalah kerana dalam keghairahan majoriti umat Islam memuji dan menjunjung Rasulullah SAW dalam menyambut Mawlid Baginda SAW, terdapat juga suara-suara yang menimbulkan salah-faham dengan mendakwa bahawa puji-pujian terhadap Rasulullah SAW adalah suatu yang melampau dan terpesong daripada ajaran Islam.

Antara sandaran utama golongan ini ialah sabda Rasulullah SAW: “Janganlah kamu melampau-lampau memujiku sebagaimana kaum Nasrani melampau-lampau memuji Isa ibnu Maryam.” Sebahagian orang memahami sabda Nabi SAW di atas dengan makna melarang daripada memuji Baginda SAW Mereka mengira perbuatan memuji Nabi SAW termasuk dalam perbuatan yang melampau dan sikap berlebihan yang tercela dalam agama, yang boleh mengakibatkan syirik.
Mereka juga beranggapan, bahawa orang yang memuji Nabi Muhammad SAW, mengangkat kedudukan Baginda SAW melebihi daripada manusia yang lain, menyanjungnya dan menyifatkan Baginda SAW dengan apa saja yang membezakannya daripada manusia yang lain, bererti telah melakukan bidaah dalam perkara agama dan menyanggahi Sunnah Penghulu segala Rasul SAW. Ini adalah pemahaman yang salah dan buruk serta menunjukkan kecetekan pandangan orang yang menilai hadis tersebut.
Maksud sebenar hadis ialah Nabi Muhammad SAW melarang memujinya secara keterlaluan sebagaimana yang dilakukan oleh kaum Nasrani terhadap Nabi Isa AS yang mengatakan bahawa Nabi Isa AS itu adalah anak Allah. Adapun orang yang memuji Nabi SAW dan menyifatkannya dengan sifat-sifat yang tidak terkeluar daripada hakikat kemanusiaan, di samping meyakini bahawa Baginda SAW adalah hamba Allah dan utusan-Nya, dan menjauhi keyakinan dan kepercayaan kaum Nasrani, maka sesungguhnya tidak disyaki lagi merupakan orang ini adalah yang paling sempurna tauhidnya.
Tepatlah madah Imam al-Busiri RH dalam qasidah Burdahnya yang menegaskan, “Tinggalkan cara orang Nasrani (Kristian) dalam menyanjung Nabi mereka (Nabi Isa AS). Ertinya: Jangan katakan Muhammad SAW itu mempunyai sifat-sifat ketuhanan). Selepas itu, terserahlah kepadamu untuk memuji Baginda SAW sesuka hati mu. Kerana hakikatnya keagungan Rasulullah SAW itu tiada had baginya, sehingga mampu lidah mengungkapkannya secara sempurna.
Kemuncak pengetahuan mereka tentang diri Baginda SAW mereka hanya mampu mengatakan bahawa Baginda SAW itu adalah seorang manusia, yang sebenarnya merupakan semulia-mulia di kalangan makhluk Allah seluruhnya.” Mana mungkin dikatakan bahawa memuji Baginda SAW itu salah sedangkan Allah SWT sendiri memuji Nabi-Nya, melalui beberapa firman-Nya termasuk: Dan sesungguhnya engkau mempunyai akhlak yang sangat mulia. (al-Qalam: 4)
Allah juga memerintahkan supaya umat manusia sentiasa beradab bersama Nabi SAW sama ada ketika berbicara mahupun menjawab panggilannya. Allah berfirman: Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengangkat suaramu melebihi suara Nabi. (al-Hujuraat: 2)
Allah SWT juga melarang kita daripada berurusan dan bergaul dengan Nabi SAW sebagaimana kita berurusan dan bergaul sesama manusia yang lain, atau memanggil Baginda SAW sebagaimana cara kita memanggil sesama kita. Allah SWT berfirman: Janganlah kamu jadikan seruan atau panggilan Rasulullah di antara kamu seperti seruan atau panggilan sesama kamu. (al-Nur:63). Tapi hari ini ada yang menyatakan bahawa menggelarkan Nabi SAW dengan “Sayyidina” itu sebagai salah dan melampau.
Mana mungkin memuji Nabi SAW itu sesat sedangkan para Sahabat RA yang mulia sering memuji Rasulullah SAW. Antara yang terdekepan dalam bab ini ialah Saidina Hassan bin Thabit RA sehingga telah diletakkan satu minbar khas baginya dalam Masjid Nabawi ketika zaman Nabi SAW lagi untuk memuji dan mempertahankan Baginda SAW. Maka antara syair Hassan ibn Thabit RA ialah:
“Wahai tiang tempat bersandar orang yang bersandar! Tempat berlindung orang yang berlindung kepadanya! Tempat meminta tolong orang yang kesusahan, dan penyelamat orang yang memohon penjagaan! Wahai makhluk pilihan Allah bagi makhlukNya! Maka Allah menganugerahkan kepadanya akhlak yang suci bersih; Engkau adalah Nabi dan sebaik-baik keturunan Adam. Wahai Nabi yang pemurah bagaikan limpahan lautan yang luas!”.
Rasulullah SAW juga ada memuji dirinya sendiri agar kita semua tahu kadar kedudukan Baginda SAW seperti sabdanya :”Aku adalah sebaik-baik golongan kanan (yang beruntung mendapat nikmat syurga).”“Aku adalah sebaik-baik golongan yang lebih dahulu memasuki syurga.”“Aku adalah anak Adam yang paling bertaqwa dan mulia di sisi Allah, tidaklah aku bermegah-megah dengannya.” (Imam Tabrani dan al-Baihaqi di dalam al-Dala’il).
Pada kesempatan yang lain, Baginda S.A.W bersabda: “Aku adalah manusia yang paling mulia di antara manusia-manusia yang terawal dan terakhir dan tidaklah aku bermegah-megah dengannya.” (riwayat al-Tirmizi dan al-Darimi) Di dalam hadith lain pula Abu Sa’id berkata: Sabda Rasulullah SAW: “Aku adalah penghulu anak Adam pada hari Kiamat; dan tidaklah aku berbangga-bangga dengannya. Di tanganku terdapat Liwa’ al Hamdi (bendera yang dipuji); aku juga tidak bermegah-megah dengannya. Tidak ada seorang Nabi pun pada hari itu (Kiamat); baik Adam mahupun yang lain, kecuali semuanya berada di bawah naungan benderaku. Aku juga orang pertama yang dibongkarkan dari bumi dan tidaklah aku berbangga dengannya.” (Riwayat Imam al-Tirmizi).
Maka sempena Mawlid al-Rasul SAW 1432 Hijriyah ini marilah kita memurnikan kefahaman kita dengan menjauhi sangka buruk terhadap mereka yang memuji, menyanjung dan mengagungkan Nabi SAW. Sesungguhnya kemuliaan Nabi SAW itu begitu tinggi hingga terbuka ruang yang begitu luas untuk kita memuji dan mengungkapkan selawat dan salam ke atas Baginda SAW dengan secanggih yang kita mampu. Manakala batasannya pula adalah terhad dan sempit iaitu jangan sampai menafikan sifat asasi Nabi sebagai manusia dan hamba Allah SWT. Semoga Allah SWT mengizinkan kita tergolong di kalangan hamba-hambaNya yang sentiasa memuji dan berselawat ke atas kekasihNya, Nabi Muhammad SAW.
Comments (0)
BERTAWASSUL DENGAN ATHAR RASULULLAH S.A.W
Arkib Utusan 25 Jan 2011
Panel Penyelidikan Yayasan Sofa
Bulan Rabi’ul Awwal yang membawa makna dan rasa tersendiri bagi para pencinta Rasulullah SAW menjelang tiba. Ia datang dengan himbauan ingatan lahirnya insan agung yang membawa cahaya kebenaran dan siraman rahmat kepada seluruh alam. Seharusnyalah peristiwa agung itu terus-menerus dikenang, disebut, disanjung sebagai tanda syukur kita ke hadrat Allah SWT atas ni’mat yang maha besar itu serta sebagai penyubur ikatan kasih kita pada Sayyidina Rasulillah SAW.

Perlu difahami bahawa perbahasan kita berkaitan isu tawassul selama ini di ruangan ini juga tidak terpisah daripada semangat menzahirkan mahabbah dan berkhidmat kepada Rasulillah SAW seperti yang diperintahkan oleh Allah SWT. Ia tidak harus sekadar menjadi suatu polemik ilmiah yang terpisah daripada makna yang lebih tinggi tersebut. Semoga kita semua sentiasa digolongkan bersama mereka yang diizinkan untuk berkhidmat kepada Baginda SAW dan memasuki naungan kasih Baginda SAW.
Di minggu ini, kita ingin memasuki satu pecahan tajuk baru berkaitan dengan tawassul iaitu hukum bertawassul dengan kesan-kesan peninggalan Rasulullah SAW atau juga dipanggil athar. Sebenarnya telah diriwayatkan secara sahih bahawa para Sahabat RA pernah melakukan perbuatan mengambil berkat atau bertabarruk dengan athar Rasulullah SAW. Perbuatan bertabarruk ini hanya mempunyai makna dan tujuan yang satu iaitu bertawassul kepada Allah dengan kesan-kesan Baginda SAW, kerana bertawassul boleh dilakukan dengan bermacam-macam cara dan tidak terbatas kepada satu cara tertentu sahaja.

Apakah patut jika kita boleh menerima bahawa para sahabat RA hanya sekadar bertawassul dengan kesan-kesan peninggalan Baginda SAW tetapi tidak pula bertawassul dengan Baginda SAW sendiri? Adakah logik jika dikatakan bahawa adalah sah bertawassul dengan furu’ (benda-benda yang mempunyai kaitan dengan Baginda SAW iaitu kesan-kesan peninggalan Baginda SAW) tetapi tidak sah pula bertawassul dengan asalnya (diri Baginda SAW sendiri)?
Adakah sah bertawassul dengan kesan Baginda SAW yang tidak akan menjadi mulia dan agung melainkan disebabkan oleh empunya barang peninggalan tersebut iaitu Nabi Muhammad SAW, dan selepas itu pula kita mengatakan tidak sah bertawassul dengan Baginda SAW? “Maha Suci Engkau, ya Allah! Sesungguhnya ini hanyalah suatu pembohongan besar.”
Jika kita hendak menyebut nas-nas yang diriwayatkan mengenai bab ini, adalah terlalu banyak. Di sini, memadailah kami sebutkan nas-nas yang masyhur sahaja.
Amirul Mukminin, Umar ibn al Khattab RA begitu beriya-iya berusaha agar dia dapat dikebumikan berhampiran Rasulullah SAW apabila telah wafat. Lalu dia menyuruh puteranya, Abdullah menemui Sayyidatuna Aisyah untuk meminta keizinan daripadanya agar jasadnya nanti dapat disemadikan berhampiran dengan Rasulullah SAW. Apabila mendapat tahu tentang hal tersebut, Sayyidah Aisyah menyatakan bahawa dia juga ingin sekali dikebumikan berdekatan suaminya, Rasulullah SAW apabila telah wafat. Namun, kemudian Aisyah RA berkata, “Aku juga inginkannya untuk diriku, tetapi aku akan mendahulukan dia daripada diriku.” Apabila mendapat jawapan tersebut, Abdullah RA menemui ayahandanya untuk memberitahu berita yang pastinya amat menggembirakannya. Mendengar berita itu, Umar ibn al Khattab RA berkata, “Segala puji bagi Allah, tidak ada suatu perkara yang lebih penting bagiku daripada berita ini.” Lihat perincian kisah ini di dalam Sahih al-Bukhari. Maka apakah maknanya keinginan Umar RA dan Aisyah RA yang begitu tinggi ini?

Kenapakah dikebumikan berdekatan dengan maqam Rasulullah SAW suatu perkara yang lebih penting dan lebih disukai oleh Umar RA? Tidak ada tafsiran yang lain, melainkan hanya untuk bertawassul dengan Nabi SAW selepas kewafatannya dengan bertabarruk dengan Baginda SAW apabila dikebumikan berdekatan dengan maqamnya.
Dalam riwayat yang lain menyebut, Ummu Sulaim telah memotong bibir qirbah (bekas minuman yang dibuat daripada kulit) yang padanya terdapat bekas bibir Baginda SAW yang telah meminum air daripadanya. Anas RA berkata, “Bekas tersebut ada padaku.”
Dalam riwayat yang lain pula, para Sahabat RA saling berebut-rebut untuk mendapatkan sehelai dari rambut Baginda SAW ketika Baginda SAW bercukur.
Dalam riwayat yang lain, Asma’ binti Abu Bakar, sentiasa menjaga jubah Rasulullah SAW. Beliau pernah berkata, “Kami akan merendamnya untuk mengubati orang sakit (dengan air rendaman tersebut).”
Bahkan, cincin Rasulullah SAW sentiasa dijaga selepas kewafatannya oleh Abu Bakar, Umar dan Uthman RA, tetapi kemudian cincin itu terjatuh ke dalam perigi.
Semua hadith ini adalah thabit dan sohih sebagaimana yang akan kami sebutkan di dalam perbahasan mengenai tabarruk (mengambil berkat). Tetapi apa yang ingin kami persoalkan di sini ialah, apakah perkara dan sebab yang mendorong mereka bersungguh-sungguh menjaga barang-barang kepunyaan Rasulullah SAW itu?

Bibir qirbah, rambut, jubah, cincin dan tempat solat Rasulullah SAW; apakah tujuan mereka menjaga dan menyimpannya? Adakah ia hanya barang-barang kenangan yang semata-mata untuk dijadikan kenangan? Atau adakah ia dijaga seperti menjaga barang-barang bersejarah untuk diletakkan dan dipamerkan di dalam muzium? Sekiranya untuk dijadikan barang kenangan, kenapa mereka memanfaatkannya ketika berdoa dan menghadapkan permintaan kepada Allah ketika mendapat suatu bala bencana atau penyakit? Jika ia dijaga hanya untuk disimpan di dalam muzium, maka di manakah muzium yang dimaksudkan dan daripada siapakah datangnya idea bid’ah ini? “Maha Suci Engkau, ya Allah! Sesungguhnya ini hanyalah suatu pembohongan besar.”
Tentu sahaja tidak ada tujuan yang lain lagi bagi para Sahabat RA ini, kecuali untuk bertabarruk dengan kesan-kesan peninggalan Baginda SAW; untuk bertawassul dengannya kepada Allah di dalam doa. Sesungguhnya merekalah yang paling memahami dan meyakini bahawa Allah sahajalah yang berhak memberi dan layak dipohon. Semua benda dari sekalian makhluk adalah hamba-hambaNya dan berada di bawah perintahNya. Benda-benda itu tidak memiliki apa-apa untuk manfaat diri mereka, lebih-lebih lagi untuk diberikan kepada orang lain, melainkan kesemuanya terhenti dengan izin Allah SWT.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s